Posts

Malam Kita Terakhir

Berhenti merenung aku berhenti Dengan anak matamu yang terselit simpati Jika hasratmu untuk pergi Sepasti matinya hati yang segenggam ini Pergi saja pergi Apa lagi yang kautunggu apa Jika jauh dari aku sudah lama kau cuba Apalah jarak ini yang tidak sedepa Tak mengubat hanya menambah luka Berlarilah kau jauh berlari Biar aku sendiri berdiri dalam renyai ini Memasung lengan di penghamparan kecewa Melutut di dalam lecah dan basah Jangan kau endah aku memekik meluah amarah Bulatkan hasratmu jangan sekali berani kau perlahankan kaki   Tak mahu aku menoleh melihat langkahmu pergi menderap Hilanglah terus lenyap dalam malam yang pekat menggelap Biar dingin air langit ini menghapus memori kehangatan Sewaktu pertama jemari mu menyentuh aku dalam kelam malam Biar diselubung aku gemuruh awan hitam dicucuh petir langit meruntuh  Biar aku dan esak tangis aku tenggelam dalam guruh Biar telinga ini tidak terdengar lagi suaramu ketawa berseloroh ...

Boneka dan Pentas

Kita benar sekadar boneka Yang mengidam lepas bebas merdeka Bila dikerat putus tali yang mengikat Melemahlah kaki melembiklah lengan Tersengkek panduan menyeret langkahan Terbungkam telapak tak terangkat tangan Tak terlarat kudrat nafas tersekat Tertunduk kepala merunduk malu Tersesal hiba terjelepuk layu Pentas nan sejengkal Hanya dipingin akal yang dangkal Mahu dirisik dimilik Mahu dipeluk ditakluk Sungguh kalau ditilik kan nampak jelik Seburuk binaan rebutan makhluk Jadi hinaan malaikat dan syaitan Jadi bahan ketawaan Tuhan Hah!

Cinta/Rindu

Cinta itu seksa yang diminta.  Biar perit hati menjerit, masih jerih dipinta dicari.  Memekik harap, meminta raga,  Melilit jasad, meronta jiwa, Mencekik waras, menyesak dada. Rindu itu sakit yang ditahan. Bagai berlari tak berhenti, tiada mula tak nampak akhiran. Mengelak lopak, meneroka jalan, Meranduk lumpur, terus ke depan, Tersadung bangkit, terduduk jangan. Yang mencinta dicinta saling menyeksa terseksa, Yang merindu dirindu saling menyakit tersakiti. Aku dan engkau, Menyeksa dan terseksa, Menyakit dan tersakiti.

Yours Forever

You make me feel beautiful Most mundane things become so playful When you act all so busy and thoughtful I'd lock our toes under the table And you’d give your best face at being disdainful Well, almost Until you’d break your character And your stifled smile now a burst of laughter And you can now be sure That I am yours forever And like little kids on a little adventure We’d never go sick of being together We’d see beauty in the littlest things We’d laugh at the silliest things And I know you’re the happiest When you steal a few glances And timidly touch my fingers And I will hold you a bit longer Because I am yours forever

Jiesti

Atuk bongkok duduk tercongok Opah melilau menengok-nengok Tunggu dibantu beras dan susu Nak beli sendiri tak cukup mampu Dulu semua cukup-cukup saja Habis dijual terung dan petola Duit yang dapat sekadar dibelanja Sekarang semuanya kena dikira Yang ada habis tak pernah bersisa Keliling pinggang berhutang pula Untungnya dituai apa ditanam Sekarang ditolak seperatus dan enam Apalah nasib memilih Najib Disangka karib rupanya ifrit Ingat dah tua hidup selesa Dapat bersara hidup ditaja Datang Ji Es Ti sengsara mari Sibuk berkira tak ingat mati Alahai cukai Alahai  alahai!

Biar Aku Bermimpi

Hidup tak berilham, Datang siang nanti malam, Jumpa malam tunggu terang. Ah. Mengeluh-kesah Bersusah lelah Tapi kaya Tak pernah kunjung Penatnya rasa Tak berpenghujung Kata aku semakin tawar Tawa aku semakin hambar Tangis aku semakin hiba Tapi kering tak berair mata Biarkan aku sendiri Biarkan aku mimpi Kerana indah seribu kali Imaginasi dari realiti

Lama Tak Berjumpa

Ibu sudah lama kita tak bicara. Abah, tetapkah kita janggal yang sama? Hari itu Waktu balik libur di Surabaya Dalam sesak rambu jalan raya Aku sumbat cuping dengan fon telinga Tatal skrin telefon dan tekan Spotify Lagu Michael Buble kudengar sendiri di celah ramai Dan tiba-tiba Jatuh sendiri air hiba Alun lagu Just Try a Little Tenderness itu Sudah aku dengar berpuluh kali ulang Yang dulunya aku interpretasi Cerita sang isteri yang inginkan hanya cinta Terimaji semula sebagai derita bonda Betapa pakai ibuku usang dan kurang Betapa di benak fikirnya banyak sengsara Betapa yang ibuku perlu hanya cinta anaknya Betapa ibu yang dulunya remaja Pernah ada mimpi dan cita Akhirnya menjadi suri yang lara Melayan karenah anak yang ramai Diuji anak yang jahat perangai Tersepit nasib yang serba kurang Terhimpit rumah yang sempit ruang Terjerit tidak, diluah dalam Namun kadang ada terbit waktu Menangis terduduk ibu di bingkai pintu ...