Malam Kita Terakhir

Berhenti merenung aku berhenti
Dengan anak matamu yang terselit simpati
Jika hasratmu untuk pergi
Sepasti matinya hati yang segenggam ini
Pergi saja pergi

Apa lagi yang kautunggu apa
Jika jauh dari aku sudah lama kau cuba
Apalah jarak ini yang tidak sedepa
Tak mengubat hanya menambah luka
Berlarilah kau jauh berlari

Biar aku sendiri berdiri dalam renyai ini
Memasung lengan di penghamparan kecewa
Melutut di dalam lecah dan basah
Jangan kau endah aku memekik meluah amarah
Bulatkan hasratmu jangan sekali berani kau perlahankan kaki  
Tak mahu aku menoleh melihat langkahmu pergi menderap
Hilanglah terus lenyap dalam malam yang pekat menggelap
Biar dingin air langit ini menghapus memori kehangatan
Sewaktu pertama jemari mu menyentuh aku dalam kelam malam
Biar diselubung aku gemuruh awan hitam dicucuh petir langit meruntuh 
Biar aku dan esak tangis aku tenggelam dalam guruh
Biar telinga ini tidak terdengar lagi suaramu ketawa berseloroh
Biar aku pejam mata ini serapat-rapat terkatup ketat 
Biar buta tidak terlihat lagi lengkuk bibirmu mengukir senyum
Biar berjurai mencurah hujan dari mega yang berpintal bergulung
Biar sampai melimpah lautan tak tertampung gunung dan gaung
Biar aku ditelan dihempas
Biar aku dialir hanyut
Biar aku lemas
Kerana tak aku sanggup
Kau aku tak sedegup senafas





Comments

Popular

Superficial

Love-Hate

Coklat