Senja

Senja itu selalu kuning dan merah,
Sekuning jantungku yang kematian detak,
Semerah hatiku yang merembes darah
Sesunyi dada,
habis nafas kencang berombak.

Dan aku melihat warna itu menjingga
Di balik himpunan mega
Serentak itu, kau hadir jelma
Sepasti gelap bayang, sejelas terang sinar

Ketika itu juga,
Saat dan detik itu juga,
Jiwa ini dicucuk sebak
Terbit air di ujung kelopak,

Lalu menari-nari semula memori,
Berdansa kembali dalam arteri,
Bagai semalam terjadi,
Bagai kau ada lagi.

Aku cukup tahu ketentuan Tuhan
Pastinya nyawa dipancung kematian
Dikumpul kembali menghadap ar-Rahman
Berharap jumpa di syurga yang aman.

Aku cukup tahu hakikat itu
Cuma tak tertahan kelatnya rindu
Takut reput menunggu kamu
Di pangkin senja berlatar sendu.

Dan senja itu masih kuning dan merah.

Bulan ini adalah bulan kelahiranmu adik aku, Iwa. 1 Julai 2011. Semoga kau terus aman. Aku akan terus menunggu dan merindu. Al-Fatihah.

Comments

Popular

Superficial

Love-Hate

Coklat