Posts

Showing posts from May, 2015

Boneka dan Pentas

Kita benar sekadar boneka Yang mengidam lepas bebas merdeka Bila dikerat putus tali yang mengikat Melemahlah kaki melembiklah lengan Tersengkek panduan menyeret langkahan Terbungkam telapak tak terangkat tangan Tak terlarat kudrat nafas tersekat Tertunduk kepala merunduk malu Tersesal hiba terjelepuk layu Pentas nan sejengkal Hanya dipingin akal yang dangkal Mahu dirisik dimilik Mahu dipeluk ditakluk Sungguh kalau ditilik kan nampak jelik Seburuk binaan rebutan makhluk Jadi hinaan malaikat dan syaitan Jadi bahan ketawaan Tuhan Hah!

Cinta/Rindu

Cinta itu seksa yang diminta.  Biar perit hati menjerit, masih jerih dipinta dicari.  Memekik harap, meminta raga,  Melilit jasad, meronta jiwa, Mencekik waras, menyesak dada. Rindu itu sakit yang ditahan. Bagai berlari tak berhenti, tiada mula tak nampak akhiran. Mengelak lopak, meneroka jalan, Meranduk lumpur, terus ke depan, Tersadung bangkit, terduduk jangan. Yang mencinta dicinta saling menyeksa terseksa, Yang merindu dirindu saling menyakit tersakiti. Aku dan engkau, Menyeksa dan terseksa, Menyakit dan tersakiti.