Pertemuan Terakhir

Sepertinya aku perlu bersendiri. Hingar suara biar pun dari seorang bagai menampar gegendang telinga.

Dan aku benci bila aku membenci. Lagi-lagi pada yang aku kisah untuk kasihkan.


Pertemuan kita yang terakhir nampaknya lagi menambah sesak dalam dada. Dunia melihat kita gembira, walhal deritalah yang mencantum hati kita. Kita cuba merungkai tali-tali takdir yang sudah terlalu kusut, hingga terlilit jari-jari kita sewaktu kita bertingkah tentangnya, di hujung malam yang kian kemamar. Sedangkan masa dan mata sudah letih menunggu kita, masih lagi aku mencuba kerana ada ketulusan dibalik tali yang bergumpal ini . Tetapi akal dan pengalaman yang dangkal manakan mampu mengundurkan tiga dekad yang dosa dan derita.


Wahai teman, entah mengapa aku merasakan sudah sampai kita di garis perpisahan. Cabang di jalan ini menduga kaki yang letih untuk terus berjalan. Keletihan yang aku takut bercambah menjadi api, membakar kita bersama. Jika benar perkiraannya, tidak ada lagi yang mampu aku tawarkan kecuali luka, kepada engkau atau aku tidak guna dibezakan lagi kerana jiwa kita sudah satu. Aku hanya manusia yang rindu pada kamu yang tidak sempat aku kenal, tautan yang seinci ini terlalu singkat untuk aku judikan.


Wahai teman, tali yang kusut ini aku tinggalkan di sini untuk kaurungkaikan sendiri. Aku tak boleh lagi hadir dalam ruang dan masamu, kerana aku perlu menjadi aku, jika tidak aku sengsara. Dan jika aku sengsara, aku takut engkau ikut sengsara.


Engkau akan aku tinggalkan. Dan ini pesan aku.


Lihatlah dengan mata jiwamu. 


Betapa jalan kita menapak adalah jalan dusta tanpa bahagia, jalan yang penuh halusinasi. Selagi aku memimpinmu selagi itu tidak akan engkau berani lari ke jalan cinta yang selayaknya untukmu.


Jika engkau hilang arah, lihatlah sedalam-dalamnya ke dalam hatimu, persembahkan apa yang kautemukan kepada Tuhan dengan sebaik-baik persembahan. Kerana yang aku mampu lakukan, hanyalah mengingatimu dalam sujudku. Bait-bait doa yang aku kait ini terlalu hina untuk dikirimkan apatah lagi dimakbulkan. Tetapi jika isi hatimu telah kau hidang sebaik-baiknya di atas meja, semoga doa yang hina ini cukup untuk memberatkan neraca ihsan Sang Pembolak Balik Hati.


Janganlah pula kita menangisi sudahnya malam-malam kita berbicara, malam-malam kita melihat bebintang yang mencoret langit, malam-malam bila segala rahsia, rasa, dan air mata bergulung bersama bunyi-bunyi ombak yang menghempas pasir dosa.


Foto-foto yang aku ambil, video-video yang aku rakam akan menjadi loket yang akan aku gantung dekat dengan dadaku. Cukuplah jika hadir rindu itu kita bisikkan pada sang bulan, denyut rasa kita cukup besar untuk ia berdenyar di malam yang terang, aku pasti.


Melankolia ini hanyalah sementara. Satu hari nanti kita akan melihat kembali perpisahan ini dengan bahagia. Bila engkau menjadi engkau, dan aku menjadi aku, kita akan tersenyum bangga. Ini sumpah aku. Darah aku aku pajakkan. 


Di sini kita berpisah.

Comments

Popular

Train to Dabong I

Dream A Little Dream of Me

Bandarasa