Bipolar
Adakah itu kemaafanmu? Adakah redup pandangmu, dan nipis senyum di bujur wajahmu itu satu pengampunan? Andai benar itu ajakanmu untuk kembali damai, kenapa hati ini dicakar gusar? Mengapa senda guraumu membuat aku tertunduk malu? Malu pada dosa yang lebih mudah bagi engkau dari aku untuk maafi. Ironi bila dikenang luluh kecai hati ini bila aku dihukum dengan tidak-endah. Aku bagai orang dungu, mahu menyauk kering laut kemarahan dengan bakul rotan. Bila aku mahu merangkul engkau jangan pergi, yang aku kaup hanya ruh kenangan yang silam, yang engkau tinggalkan buat menghantui malam-malam aku bermenung. Kejam. Dan kini bila sudah reda marah ditangis masa, engkau bersedia salamku disambut, aku pula menjadi takut. Tiada kemaafan yang mudah, aku tahu itu. Bundar pandangmu, lengkuk senyummu, canda guraumu semua itu payah bagimu, aku tahu itu. Tapi rasanya belum setimpal lagi, tak layak kiranya untuk aku bersandar di pangkal pohon persahabatan kita. Pohon yang aku cuba bakar, ti...