Bipolar

Adakah itu kemaafanmu? Adakah redup pandangmu, dan nipis senyum di bujur wajahmu itu satu pengampunan?
Andai benar itu ajakanmu untuk kembali damai, kenapa hati ini dicakar gusar?

Mengapa senda guraumu membuat aku tertunduk malu? Malu pada dosa yang lebih mudah bagi engkau dari aku untuk maafi.

Ironi bila dikenang luluh kecai hati ini bila aku dihukum dengan tidak-endah. Aku bagai orang dungu, mahu menyauk kering laut kemarahan dengan bakul rotan. Bila aku  mahu merangkul engkau jangan pergi, yang aku kaup hanya ruh kenangan yang silam, yang engkau tinggalkan buat menghantui malam-malam aku bermenung. Kejam.

Dan kini bila sudah reda marah ditangis masa, engkau bersedia salamku disambut, aku pula menjadi takut.

Tiada kemaafan yang mudah, aku tahu itu. Bundar pandangmu, lengkuk senyummu, canda guraumu semua itu payah bagimu, aku tahu itu. Tapi rasanya belum setimpal lagi, tak layak kiranya untuk aku bersandar di pangkal pohon persahabatan kita. Pohon yang aku cuba bakar, tidakkah jelik untuk aku menumpang di bawah bayangnya bila hijau daun baru nak berputik. Biarkanlah aku berdiri di bawah terik, biarkan aku di siang berkeringat, di malam berembun. Tiba masanya aku akan dekat, mencari besar hatimu di celahan rimbun.

Aku di sini.
Aku mahu engkau kembali.
Aku mahukan engkau lebih dari mampu detap-detap jari mengetuk papan kekunci mengungkap isi hati.

Jangan putus harap, aku akan pulang juga.
Moga masih redup matamu, terukir senyummu, bercandalah kau dan aku.

Comments

Popular

Superficial

Love-Hate

Coklat