Drama Rumah Sewa
Kami berempat berkumpul dalam bilik Ahmad petang itu. Ahmad cekak pinggang, nampak tak keruan. Kami masuk ke biliknya bila Ahmad mengadu barangnya berselerak, laptopnya hilang.
“Aku dah pesan berapa kali dah, orang last keluar rumah kunci pintu, kunci grill, kunci pagar.”
“So, kau nak salahkan akulah ni?”
“Ye lah!”
“Sekarang ni barang siapa yang hilang? Yang kena curi barang aku ke kau?”
“So, just because barang kau hilang bukan barang orang lain aku tak boleh marah kau lah? Dah la pinggan mangkuk tak reti nak cuci, barang bersepah-sepah, nak kunci pintu pun malas. And honestly aku tak tau macam mana ko perasan barang ko hilang sebab bilik ko memang macam sarang tikus.”
Ahmad diam, matanya tak mahu memandang aku lagi.
“So, sekarang macam mana?” Rizal mencelah, cuba meredakan ketegangan.
“Entah. Bukan barang aku yang hilang,” aku balas sinis sengaja mahu buat provokasi.
Tak sempat aku berpaling tinggalkan bilik Ahmad, satu hentakan hinggap di pipi aku. Aku tertiarap di lantai, telinga berdesing. Ahmad nampaknya lebih lunak berbicara dengan buku lima.
Syam yang tadi hanya sekadar penonton meluru memeriksa keadaan aku. Ahmad aku lihat bergelut cuba melepaskan tangan yang sudah dikunci Rizal.
Petang itu, Ahmad pergi ke balai polis dengan Syam buat laporan kecurian. Good luck getting your stuff back bro. Kau ingat polis kisah dengan laptop zaman uni kau tu?
***
Rizal menguak daun pintu bilik aku, tersengih-sengih.
Aku angkat kening, Rizal geleng-geleng. “Si Mat dah keluar, pergi makan kot.
” Amacam, sakit lagi tak?” tanya Rizal.
“Celaka kau kan, suka tengok aku macam ni.”
Rizal ketawa terbahak-bahak.
“Aku rasa ada satu gigi geraham aku nak tercabut kot.”
“Gigi buruk berlubang kau tu? Elok la, tak payah pergi dentist.”
“Hmmm, betul jugak tu.”
Rizal ketawa lagi. Aku pun ikut ketawa.
Rizal jerit panggil Syam masuk bilik aku. Syam datang duduk bersila di lantai. Belum sempat kami bertanya apa-apa Syam buka cerita.
“Kau tau, masa kat balai polis tadi habis budak tu kena sembur dengan polis.” kata Syam menungggu reaksi kami.
“Kena sembur? Pepper spray?” tanya Rizal, buat-buat bodoh.
“Sembur as in kena marahlah, bongok.”
Rizal ketawa. Aku hanya boleh senyum, bekas tumbukan di pipi terasa pedih semula.
“Lepas tu? Kenapa dia kena marah?” tanya aku mahu Syam sambung cerita.
“Mula-mula polis tu chill je. Tapi polis kan tanya details kejadian sebab nak buat repot. Bila polis tanya rumah berkunci tak, si Mat cakap tak. Polis tanya pulak kenapa tak kunci, siapa yang tak kunci. Mat diam je.”
“Lepas tu?” tanya Rizal.
“Lepas tu aku mencelah, ‘Dialah yang tak kunci. Kalau dia yang last keluar, biasanya tak berkunci’. Polis tu pun apa lagi...”
Syam tak perlu habiskan ceritanya. Rizal sudah ketawa sampai berguling-guling atas lantai. Aku pula menepuk-nepuk bantal dan tilam. Syam senyum menyeringai. Puas hati semestinya dapat lepas geram pada Ahmad. Sebenarnya, Syam orang paling penyabar dalam melayan kerenah Ahmad, sebab dia berkongsi bilik dengan Ahmad. Tuhan saja tahu betapa nerakanya duduk dengan orang yang seluar dalam kepam bersepah-sepah.
Reda ketawa, Rizal pandang aku sambil pegang iPhone.”Nak aku tunjuk kat Syam tak?
“Tunjuk apa?” tanya Syam ingin tahu.
Aku kira Syam pun sudah satu kepala dengan kami mendengarkan kejadian di balai polis tadi, jadi aku angguk sahaja. Rizal leret iPhone di lantai, berhenti di betis Syam. Syam lihat ke paparan skrin, aplikasi Whatsapp sudah terbuka. Perbualan antara aku dan Rizal tengahari tadi Syam baca.
Syam pandang aku dan Rizal, matanya terbeliak, terkebil-kebil. Aku seluk keluar laptop Ahmad dari bawah katil.
“Honestly aku just ambik laptop ni je. Barang dia memang aku takde sepahkan.”
Syam senyum kelat. Mungkin suka Ahmad diajar begitu, tapi ralat sebab gigih teman Ahmad pergi balai tadi petang.
Aku dan Rizal ketawa lagi.
Comments