Posts

Showing posts from October, 2016

Bulu Hidung

Image
Engkau bagai bulu hidung, Diam tersorok, meliuk-lentok, Tabah engkau di dalam gelap, Perlahan kau tumbuh, tetapi aduh, begitu pasti begitu ampuh. Kadang hangat engkau dihembus udara utara, Kemudian dingin disapa sepoi selatan, Ada ketika dilanda banjir masin, Ada kala dibenam lumpur, menggelupur Terpisat-pisat engkau cuba bangkit Dari kerak hijau melekit. Engkau bagai bulu hidung, Perlahan-lahan engkau melolos diri dari gua yang memenjara, Apalah kiranya dipotong direntap dicarik ditarik, Bahkan setimpal semuanya demi seketika merdeka. Tidak. Tidak akan sesekali engkau berhenti menjadi subur, Yakinlah dari cambahanmu engkau melunjur, Biar di tangan manusia engkau berkubur, Rentaplah! Biar tercabut dari umbi yang mengakar, Tetap bangkit walau bumi henti berputar, Dari pintu dua gua terperongo, Ayuh jengahlah engkau keluar!

Sang Pengejar

Aku mengejar engkau dikejar, Begitulah. Perlu ada cerita sebelum mahu bicara, Harus ada agenda sebelum berjumpa, Kena ditetapkan mana dan bila, Dikira-kira ongkosnya. Tanpa kita sedar, tali merah yang disimpul pada pasak hati kita, Kini boleh dinilai dengan wang ringgit. Dan tanpa aku sedar, aku menyumpah pada Tuhan yang mencampak kita, Terpisah masa dan ruang yang semakin menjurang tapi semakin menghimpit. Bukan salah sesiapa. Bahkan lumrah, qada dan qadar. Aku mengejar engkau dikejar. Begitulah.

Neraka

Dapatkah aku risik keindahan dalam lubang neraka? Dinding-dinding konkrit retak bermandikan panas. Dicela asap dan debu, tak cukup sifat, asal boleh guna. Herot-berot biarlah, lantak pi kalau tak roboh tak apa. Anak mata bagai dicucuh dengan bara rokok, pekan ini barua kepada petualang totok, sang pelacur kota yang menjaja merdeka demi kertas-kertas ronyok, yang dikaut dari kocek yang dilenjun kangkang berpeluh. Pekan bodoh ini sempit dan buruk, hingar dan sibuk hingga tiada hijau yang ingin tumbuh. Warna yang tinggal hanya kelabu simen dan hitam jelaga, yang merah hanya jalan tak berturap, haiwannya tinggal anjing kucing berkurap. Tulang ikan dan isi perut babi di campak ke dalam longkang, digogong anjing dikunyah kucing, serpihnya diunggis cencorot dan tikus. Unggas yang ada -- kuak-kuak si hitam gagak, desing mengacau lalat dan langau. Tong yang tadi paginya diunggah dengan sampah, bakal dipunggah aci rumah sebelah. Entah berbaloi mana sesen dua dari tin, botol, dan kotak y...