Pages

NAJNAJAKIA BLURGG

Di sini aku coret,lakar,conteng,lukis,catat,tulis,leter,bebel,sindir,ukir,pahat,tekap,warna cerita hidup aku

Thursday, October 20

Neraka

Dapatkah aku risik keindahan dalam lubang neraka?

Dinding-dinding konkrit retak bermandikan panas. Dicela asap dan debu, tak cukup sifat, asal boleh guna. Herot-berot biarlah, lantak pi kalau tak roboh tak apa.

Anak mata bagai dicucuh dengan bara rokok, pekan ini barua kepada petualang totok, sang pelacur kota yang menjaja merdeka demi kertas-kertas ronyok, yang dikaut dari kocek yang dilenjun kangkang berpeluh. Pekan bodoh ini sempit dan buruk, hingar dan sibuk hingga tiada hijau yang ingin tumbuh. Warna yang tinggal hanya kelabu simen dan hitam jelaga, yang merah hanya jalan tak berturap, haiwannya tinggal anjing kucing berkurap.

Tulang ikan dan isi perut babi di campak ke dalam longkang, digogong anjing dikunyah kucing, serpihnya diunggis cencorot dan tikus. Unggas yang ada -- kuak-kuak si hitam gagak, desing mengacau lalat dan langau.

Tong yang tadi paginya diunggah dengan sampah, bakal dipunggah aci rumah sebelah. Entah berbaloi mana sesen dua dari tin, botol, dan kotak yang dijejak dihenyak tapak yang semalamnya tahi anjing dipijak.

Hendak melihat cerah pagi dan warna-warna senja, jadi seksa mata. Berselirat wayar dan kabel bergayutan, pada tiap hujung bertautan pada tiang-tiang berceranggahan. Siangnya panas, malamnya menakutkan. Samseng parya meronda-ronda mencari mangsa di balik-balik selekoh, pada jalan yang sama sunyi malam dicakar ekzos mat rempit, mat pet mencari port nak hisap pot, bawah tiang lampu yang ditampal iklan ubat kuat dan pinjaman berlesen jerung si cina ah long.

Bagi tahu dekat aku, mana hendak cari indah dalam lubang neraka?

0 tohmahan:

 NEWER POSTS OLDER POSTS HOME