Train to Dabong I
Perjalanan Mentakab-Dabong-Mentakab adalah antara satu perjalanan yang paling bermakna dalam kehidupan dewasa aku yang tak ingin aku ulang.
Bukan kerana aku tidak sukakan kereta api, bahkan bagi aku tiada kenderaan yang lebih mengujakan.
Bukanlah kerana jarak perjalanannya yang panjang, malah ada yang merantau sejauh Selangor dan negara Johor.
Bukan kerana perlu mengangkat beban, kerana ada yang mengheret bagasi yang jauh lebih berat.
Bukanlah kerana mereka yang aku jumpa dan berjumpa kembali adalah mereka yang aku tidak berkenan, malah jika hilang seorang tidak lengkaplah perjalanan ini.
Tetapi kerana pada epilog perjalanan ini, terbit rasa-rasa yang tidak sempat aku hadamkan semasa dan di antara masa kami bergelak tawa, di senggang waktu kami makan tidur, makan tidur, dan makan tidur lagi.
Malah tulisan ini adalah satu percubaan untuk aku menyusun kembali fikiran dan perasaan yang datang tak diundang, satu prakata untuk memahami prarasa tentang sesuatu yang masih janggal untuk aku kategorikan sebagai apa.
Untuk tiga hari yang bebas dan santai, dari mana entah datang rasa yang berat ini. Mungkin tidak seberat perasaan usai pertemuan singkat di Genting Highland tak seberapa lama dulu (yang aku masih dan tidak rasa boleh untuk terjemahkan dalam karangan) tetapi ya, berat. I’m thinking as I write this down, jadi pada waktu ini aku berfikir bagaimana harus aku menulis tanpa melukakan hati sesiapa, aku juga tidak tahu jika ia cukup bermakna untuk siapa-siapa yang membaca tulisan ini pun. Boleh jadi aku yang terlampau melayan perasaan.
Sebelum aku terus menulis tulisan yang tersirat, baiklah aku bagi sedikit konteks, apa siapa bila mana.
Seawal bulan Jun, Afiq dah mula mengajak-ajak pergi panjat Gunung Stong dalam group Whatsapp kami. Syed okay nak ikut tapi sebab sibuk dengan kerja dia sekadar bagi tarikh yang boleh dan tidak boleh. Aku dan Shimi okey saja nak ulang daki, kami pernah pergi April 2018. Mulanya Ogos, ubah tarikh beberapa kali sampai nekad mesti jadi naik bulan September. Mulalah cari guide dan tiket keretapi, buat dedicated Whatsapp group. Tapi tiket kereta api buat hal.
Tarikh yang itu Syed tak free, tarikh yang ni tiket habis, tarikh sekian long weekend sek demo dah borong habis tiket. Jadi akhirnya set pergi hari kerja, Khamis 22 September, balik Sabtu malam 24 September supaya Ahad boleh rehat di sarang masing-masing, tak payahlah minta cuti. Selesai satu masalah.
Kemudian, sebab satu guide boleh bawak tujuh orang maksimum, rancangan trip bujang 4 orang tukar jadi 7 orang. Akhir sekali jadi trip 14 orang, naik ramai-ramai bolehlah kurangkan sikit kos guide dan makanan. Jujur kata takut juga masa Afiq cadang tambah orang sebab program pun santai habis, plan gitu-gitu je. Tiket kereta api pun terhad.
Mula-mula ajak Fauzan kemudian naturally Atoqlah. Bila dah jadi 14 orang, masing-masing mula cari kawan nak bawa sekali. Worlds gonna collide. And I’m terrified and scared all at once. You know, introvert things. Beberapa personal DM kemudian, Afiq bawak Senpai, aku Sapek, Syed bawak Syamel (ganti Sarah Ritha). Lagi Afiq ajak Didi, Juju dan wife Nisa, lepas tu Adeng, dan Saiful adik Sarah.
Seperti biasa selepas merungut barang apa nak pek, nak ke stesen kereta api naik apa, ada yang tersilap tarikh, akhirnya sampai juga tarikh 22 September. Lega aku tak naik dari Gemas, lambat sikit dapat catuan.
On board empat pagi dekat Mentakab, janggal sikit pertama kali naik keretapi lama, katilnya pula macam tidur dalam keranda bergerak. Aku officially jumpa yang lain lepas tidur ayam sekejap dan bangkit waktu Subuh. Oh, nak ambil wuduk dalam keretapi ni kena kreatif sikit ya kalau tak nak masuk lubang jamban. And I literally can’t make out where I should face while aiming at the crap hole, to the amusement of my fellow friends when I told them later at the cafe.
Kami lepak dekat kafe dari gelap sampai cerah, order minum pun cukup syarat supaya tak kena jeling dengan penumpang lain haha. Mula dari situ, dah tak berapa nak risau pasal tentatif dan chemistry. Just like the momentum of the train, the conversation at the cafe propel us through the rest of the trip. Semua orang masuk dengan semua orang, I couldn’t ask for a better line up. Habis lepak dekat kafe, sesi bergambar pun bermula. Masing-masing tak berani (baca: skema) nak buka pintu ambil video estetik takut kena maki dengan staf. Quoting Shimi, who’s care! Snap jugalah gambar dan video dari balik kaca, berlari keluar masuk dekat stesen Gua Musang. Bermisai berjembut pun rasa macam budak-budak balik.
Sampai Dabong, bergambar lagi, sarapan lagi, tapau lunch sambil tunggu Nisa sampai. Kereta guide kemudiannya ulang-alik angkut kami yang empat belas orang ke kaki gunung Stong. Wira lowered milik guide Pok Cu gagah lagi jadi keldai kami. Dalam kereta, Atoq adalah bersembang dengan Pok Cu pasal hujan, pasal kepala air etc. Aku dengan Jan dekat belakang ketawa kecil sebab tok pehe sekagho boh yo oyak gapo! Belum boleh tune in lagi dengan suasano dan loghat Klate hehe.
Siap tukar baju, pakai kasut, susun balik catuan, pendakian pun dimulakan dengan taklimat dan bacaan doa. Selepas menyelusur resort dekat kaki gunung, gunung Stong tak segan silu bagi trek mencanak. Oh crap. Aku salah ingat ke tahap kesukarannya? Shimi pun nampak tak larat masa mula-mula.
Aku bukan risaukan trek mencanak, aku risau kena carut dengan Sapek, Syamel, dan Syed sebab masa naik Gunung Datok sebulan lepas aku cakap Stong senang banyak dari Datok.
Nasib baik guide dan sweeper sejenis melayan je. Katanya, dekat mana berehat dekat situ la checkpoint. Hilang jugalah lelah lepas rehat panjang di checkpoint 1, sambil ambil gambar masa melintas batuan air terjun. Terima kasih dekat geng sweeper, Afiq Syed Sapek Didi Nisa sebab ambil your own sweet time hehehe.
Habis rehat CP1, pendakian disambung tapi bagi laluan jalan dulu untuk geng shooter, Atoq Jan Saiful Senpai Juju Adeng. Dapat pula beban ekstra dari Afiq masa dekat CP1, khemah untuk gegurls. Jadi aku saing-saing Shimi dekat tengah-tengah saja. Sambil mencungap sambil catch up perihal masing-masing. Penat tak penat, gosip didahulukan, pencarutan diutamakan. Kami sampai CP2 yang berada di satu kawasan sedikit lapang dan landai, nampak geng shooter tengah duduk rehat. Teguk air sikit, sembang-sembang sikit, tengok langit nampak gelap. Aghisau nak hujan ke? Jadi, Shimi ajak aku gerak dulu. Aku onz sebab aku spesies lagi lama kat trek lagi penat. Minta izin Pok Cu untuk gerak dulu, dapat saja okey dari dia kami berdua terus bangkit nak gerak ke Kem Baha. Atoq nampak tercabar tanya eh kau nak pergi mana. Hahaha. Jadi bergeraklah semua tinggal Pok Cu, dia tunggu geng sweeper.
Trek yang tadi berakar ada tempat nak menapak bertukar jadi laluan berbatu licin dan kemudian tanah liat berlecah. Langit yang tadi dilitup kanopi pokok-pokok besar bertukar jadi buluh-buluh melintang di atas kepala. Tidak jarang, tetapi tidak cukup tebal untuk memberi teduh bila sampai hujan tak sepuluh minit kemudian. Masa letak beg ke tanah untuk pasang raincover, tiba-tiba perasan, eh mana khemah gegurls?
Sah, tertinggal dekat CP2 masa sibuk nak gerak awal tadi. Kalau ada yang jumpa okeylah, kalau tak naya mat, mana Didi dan Nisa nak tidur? Cubalah telefon geng sweeper dengan line satu bar tapi tak berangkat. Masa ni aku sorang-sorang dekat trek basah kuyup. Ada dua options, penat menapak turun atau penat kena perli kalau khemah tak cukup. Atas dasar tanggungjawab dan integriti, aku lepaskan beg di tanah dan turunlah balik cewah. Mujur separuh jalan jumpa geng sweeper, mujur kuasa dua khemah ada di tangan Afiq.
Selesai beban bertukar tangan, aku dan Syamel tinggalkan geng sweeper dan terus ke Kem Baha. Ada cerita menarik pasal geng sweeper dan tembikai laici lepas aku shoot ke Kem Baha, tapi itu biar Syed cerita dekat blog dia.
Sampai Kem Baha, hujan pun dah berhenti, lupa dah nak minum nak makan, campak beg terus pergi dekat viewpoint. Guys, cantik guys view dia. Cakap tak guna, biar gambar berbicara.
Tapi kata orang bahagia tak kekal lama. Kusangkakan panas sampai ke petang.
Kem Baha dilanda hujan semula. Kali ini lebat.
Kalau hujan dekat trek tadi appetizer, ini main course.
Kelam kabutlah semua pindah beg ke pondok guide. Hujannya pula macam tak ada tanda akan berhenti jadi berbasahanlah semua nak memasang fly dan ground. Pasang cabut pasang cabut fly sebab tapak khemah dekat laluan air. Sejuk gila masing-masing menggeletar. Kem Baha ni 700 meter aras laut. Tak hujan pun anginnya sudah cukup untuk buat bibir Saiful membiru. Dalam kelam kabut tu, perhatilah juga cara pasang fly dan ikatan.
Confession time: Empat tahun hiking tak pernah tahu macam mana nak sediakan khemah, pasang butane dekat stove pun terkial-kial, sebab gogo sangat dependable. Thank you Afiq. Mohon turunkan ilmu sementara masih muda.
Habis pasang khemah, hujan pun reda, masing-masing mencari haba. Air mula dijerang nak bancuh teh dan kopi. Ada yang berkerumun keliling stove. Ada yang berpeluk tubuh saja. Si Fauzan bijak berpaut mencuri haba dari mak ayamnya Syed lmao. Jujurnya tak boleh nak recall banyak sebab otak beku. Mujur ada yang rakam dari jauh (jeling Didi dan Nisa).
Siang berbaki satu dua jam untuk kami menyiapkan apa yang patut sebelum headlamp dan lantern perlu dinyalakan. Khemah gegurls dipasang. Dapur berasap. Yang lelaki ada yang naik ke kolam air terjun. Airnya sedikit keruh tapi terlalu sejuk untuk kami berendam lama. Anehnya, kolam ini terasa asing walaupun enam tahun lepas aku dan Shimi pernah bermain-main di gigi airnya (we were chickens lol). Habis berendam bersabun, selesai tukar seluar kecik dan besar, kembalilah ke khemah.
Laluan air yang tadinya penuh air mulai kering. Tiada lagi air langit jatuh, yang tinggal hanyalah titis-titis dari hujung daun-daun buluh yang melambai-lambai bagai telapak tangan gergasi. Bunyi-bunyi hutan yang tenggelam dalam deruman hujan kembali mengisi indera telinga, hingar bagi sesiapa yang berhenti dan mendengar. Dari lereng berbatu yang menjadi menara tinjau bumi Dabong, kelihatan benih-benih kabus putih yang bercambah dari gugusan pokok, batu, dan tanah di bawah sana, bagai gumpal kekabu yang disayat perlahan.
Malam pertama tiada perkara besar yang kami lakukan kecuali makan malam, bersembang, bermain games dan teka-teki. Afiq dan Senpai seperti trip sebelum ini menjadi tukang masak, Shimi tidak seperti trip sebelum ini tidak lagi menjadi pembantu dapur tiber nak point out walaupun aku tak tolong juga lol. Menunya nasi dengan daging lada hitam, tapi aku ingat pun sebab aku periksa balik senarai menu dalam Whatsapp group, sebab dinner ni memang aku makan untuk hidup je lol.
Habis makan malam, kami banish Didi dan Nisa ke khemah gegurls untuk the bois main Mafia/Werewolf.
Warning: the next part is a Juju appreciation paragraph.
Juju jadi moderator untuk game Werewolf, and oh boy what a moderator he was! Tak pernah lagi aku main Werewolf yang orang kampungnya kucing, werewolfnya anjing menyamar kucing, dan doktornya kucing magik dengan kuasa penyembuhan diaktifkan dengan menjilat jubur kucing! Juju, sama ada kau high atau kau genius. Mengarut gila sampai nak berlakon *bukan* werewolf pun payah. Mental note: Bunuh dulu Syed, Afiq, dan Fauzan sebab tiga orang ni sangat perseptif. And then Sapek, sebab dia, well, Sapek. Cakap pasal mengarut, Shimi dan Juju ada beberapa ujian penglihatan dan pendengaran yang mengarut dan mudah kata annoying lol. Syamel tak boleh nak brain ujian-ujian tu, Syed pulak rasa mengarut sebab kena perhatikan benda yang arbitrari. Mungkin itu poin dia? Kalau tanya aku, aku suka, sebab lagi senang dari berlakon *bukan* werewolf. Haha.
Penat ketawa dan berfikir, masing-masing bersiap untuk tidur. Kecuali Saiful yang tidur dalam hammock, dan Atoq-Fauzan yang tidur dalam khemah sendiri, semua berhimpit dalam khemah besar. Penghadang angin yang dipasang petang tadi oleh Adeng, Afiq, dan aku berfungsi baik walaupun cincai sahaja kerjanya. Sesiapa yang baca bahagian ni dari masa hadapan, sila pastikan pintu khemah tidak menghadap puncak ya, sebab angin malam bertiup betul-betul turun dari puncak.
Sedang kami hingar dengan ketawa dan jerit, di bawah sana, angin malam sedang dalam diam-diam memintal kabus yang meresap dari tanah ke langit. Malam ini, sewaktu kami tidur dan bermimpi, Tuhan akan mengait mereka menjadi selimut dan siang esok, Dia akan menghamparkannya di atas bumi Dabong supaya jiwa-jiwa kami ini menjadi hangat saat menyaksikan sedikit bayangan syurga.
Sesungguhnya tiadalah sia-sia ketentuanNya, waima hujan yang sejuknya menggigit tulang.
Comments