Train to Dabong II

“Bangun, bangun!”


Suara Afiq memecah dengkuran Syed  igauan Adeng kesunyian pagi. Ada garis cahaya jingga di kaki langit. 


Inilah sebab kami semua di sini. 

Inilah sebab kami sanggup bermusafir ke negeri asing. 

Inilah sebab kami mendaki ribuan kaki.


Demi melihat sedikit bayangan syurgaMu.






 


Bilah-bilah matahari membelah awan menghangatkan kulit yang masih berbintik-bintik dibalut sejuknya angin pergunungan malam tadi. Warna jingga yang tak jemu membahagikan malam dan siang, sedang masa terus-menerus mengalir walau seribu kudrat cuba menghentikan, masa yang tidak pernah kisah. Jadi aku kutip memori masa dalam bentuk foto dan video, kemudian aku lepaskan masa itu berlalu, kerana dia tidak memikirkan pun kita ini dalam bahagia atau pilu. Kerana cahaya itu masa dan masa ingkar dari dipenjara. Yang terakam hanya piksel-piksel cahaya palsu yang menyamar menjadi cahaya ilahi, sedang sang matahari tetaplah sembilan puluh juta batu jauhnya, bahang yang hinggap pada tubuh kita hanyalah satu bahagian dari kepanasannya, kerana Tuhan sudah mengira rahmatNya adalah antara dua titik di angkasa, merayau jauh darinya dihunjam sejuk atau dibakar teriklah akibatnya.



 



Tetapi mata ketiga ini dalam kerabunan pun tetaplah mencari makna. Kerana apabila mata ketiga ini walaupun dibukakanNya hanya seketika dapatlah ia melihat lebih dari cahaya. Mata yang mampu merakam erti setiap rona warna hati, walau jiwa yang menjadi layarnya terlalu perlahan untuk manayangkan makna di sebalik makna. Ketika ini, saat aku menulis ini, sambil membelek-belek memori, bagai datang satu suara yang mengatakan ada sesuatu yang engkau terlepas pandang. Sedang yang lain merindukan awan permaidani di bumi Dabong aku merasakan yang sebaliknya. Sampai ada beberapa teman aku hubungi untuk mengesahkan kesedihan ini. Jadi aku lemparkan memori-memori ke lantai, berserakan mereka, mungkin itu yang harus aku lakukan apabila tiada bentuk, tiada corak, hanya kerawakan perasaan, kerana jika ada satu perkara yang aku belajar sedekad ini, ilham dariNya itu ada nuansa yang tidak terikat dengan kronologi.



Termenung aku bila datang satu kefahaman yang kejam. Aku tersedar yang bayangan syurga ini sekadar satu saguhati, sebuah hadiah perpisahan, seutas loket yang di dalamnya kenangan, untuk beberapa hati yang masih leka bermain air dan bercanda, supaya dapat kami genggam apabila tiba malam-malam sunyi, memujuk hati kami yang pasti akan menangis nanti.


Sesungguhnya Tuhan itu sudah menulis semua ini seawal pertemuan, malah lebih lagi. Pengetahuannya yang melangkau masa dahulu, masa sekarang, dan masa hadapan. Demi Masa dan bumi Kelantan yang menyaksikan permulaan garis perpisahan, sedang kami masih lagi leka, Dia dan keluasan ilmuNya sudah sedia menempa loket hati ini.


***


Atoq dah bosan. Bukan stail dia hiking untuk duduk-duduk saja. Jadi dekat-dekat tengahari Pok Cu mula mengajak naik ke punca air terjun Jelawang, di pertemuan dua air terjun, satu dari gunung Ayam satu dari gunung Stong. Masing-masing masih malas lagi, belum move on dari awan karpet mungkin. Aku follow majoriti. Si gemuk Sapek dan Syed melingkar dalam khemah besar. Jenuh dipujuk-pujuk Atoq, digeleteknya Syed menggeliat-geliut macam ulat gonggok. Akhirnya berjaya. Semua pun bergerak melintas kolam air terjun Kem Baha, menaiki tebing sebelah perkampungan jin jahat katanya Atoq. Curam juga tebingnya, dalam sepuluh minit kemudian jumpa batu yang bertindih membentuk terowong/gua. Ada tangga dan tali sudah dipasang di dalamnya memudahkan kami meneruskan pendakian.



Selepas satu lagi pendakian bertali, treknya keluar dari hutan dan bertindih dengan sungai semula. Ada yang berhati-hati meniti di atas perbatuan, ada yang terus meranduk air.


Tak lama kemudian kami nampak cabang dua sungai yang dicari. Cabang yang kiri air terjunnya dibingkai pokok-pokok yang tunduk ke arah air. Cabang yang kanan menjulang tinggi, ada batu-batu besar yang terpasak pada celah batu yang lebih besar sehingga air yang deras mengalir di celahan mereka nampak seperti tali air sahaja. Ada satu kolam di atas tempat Didi dan Nisa berendam. Di bawah mereka, ada satu lagi kolam kecil di bawah tempat kami yang lelaki bermandi manda, hmm, sedikit masin airnya hmmm 🤔


Yang lelaki kemudiannya mendaki ke sungai yang kanan. Ada jurang di celahan batu yang memerangkap air sungai, membentuk air terjun berkolam cetek. Titis-titis air menyerak cahaya matahari menjadi pelangi di hujung sebatang kayu yang menjadi titi tempat kami bertenggek. Afiq dan Atoq mengepalai sesi bergambar. Boleh tahan belia juga orang tua ni. 



 

Snap, snap, snap 📸


Selesai bergambar, bersidai-sidai di tebing, masa untuk turun. Atoq, Jan, Bad, dan aku shoot ke bawah. Sebab tak pasti apa plan Pok Cu, kami bersidai di kolam air Kem Baha. Bila lagi masa yang sesuai nak main gelungsur kalau bukan bila ramai-ramai sudah di sini? Selepas trip Padang Batu, aku jadi berani sikit nak buat benda-benda ekstrem. Sikit. Masih tak seberani Afiq yang jadi orang pertama mencuba. Tapi aku jadi cuak bila Syed yang pandai berenang dan suka diving pun nampak cuak. Aksi gelungsur Syed dilengkapkan dengan jeritan, "I did it!!!" Terhambur ketawa dari semua. 


Selepas dipujuk-pujuk, akhirnya aku bersetuju untuk naik ke atas gelengsur. Tergelincir pada mulanya, kalau aku percaya hal khurafat, itu satu petanda tak baik. Tapi dah naik malu la nak patah balik. Selepas berkira-kira, basmalah dibaca walau hati sedang memaki diri sebab tumpas dengan pujukan Afiq dan...zup!!! Selesai. Sekali cukup. Selepas itu satu persatu join. Didi terjun. Juju dan Nisa terjun. Senpai terjun. Shimi sampai kesudah tak terjun walau dicabar-cabar Adeng. Haha. Sesi menggelungsur hari tu ditamatkan dengan aksi berani Pok Cu; bukan dengan berbaring tetapi berdiri. Gila.


Dalam kami bergelak ketawa suka, riuh-riuh dan buih-buih di air kolam ini rupa-rupanya membawa makna yang sukar untuk seseorang. Sepertinya dunia ini umpama lukisan abstrak, yang bebas untuk ditafsirkan sebagaimanapun, bukan oleh mata kepala, tetapi mata hati. Ada hati yang gembira, ada hati yang luka, ada hati yang sudah berparut, ada hati yang mahu melupakan. Jenis-jenis hati ini menjadi penuras rasa, lantas apa yang terzahir bukan selalunya sama seperti yang dirasakan.


Siang itu siang malas-malas. Menu makan tengahari ayam masak kicap. Shimi tak hadir lunch sebab demam. Petangnya bermain Uno Flip (urgh we hate it! lol). Makan malam ayam masak rendang. 



Kemudiannya kami berkumpul di keliling unggun api, bakar marshmallow dan makan smores. Ada yang duduk di atas tikar. Ada yang berdiri. Sapek dan Didi bersembang tentang entah apa. Aku duduk sebelah Afiq di atas sepotong atap besi yang kami jadikan alas duduk, sambil aku bertanyakan dia soalan-soalan personal hiks. Adeng jadi DJ menunaikan permintaan lagu, sama sekali tak menjangkakan suasano malam ini akan berubah 180 darjah.


True to Syed’s fashion, Syed tiba-tiba meminta Atoq bercerita pasal kejadian ngeri yang berlaku padanya pada hujung tahun lepas. Cerita tentang berada di tengah-tengah bala kepala air di Kenaboi, cerita bencana yang dilupakan kerana negara sedang kecoh dengan banjir besar di Selangor. Aku ada dengar-dengar sinopsis kisah Atoq sebelum ini, tetapi meleset sekali jangkaan aku akan skala kemusnahan dan penderitaan yang sebenarnya. I was one of them guilty of judging a book by it’s cover. Sekali-sekali ada Syed dan Adeng mencelah, tapi kebanyakannya hanya Atoq dan gerak tangannya yang berbicara. Cemas, lega, sedih, takut. Itu yang aku rasakan dan aku yakin yang lain pun sama. Waktu Atoq mengisahkan bagaimana dirinya dipanggil-panggil air bah, bagaimana peringatan dari si isteri supaya memanggil nama Tuhan yang menariknya kembali dari kepastian mati, dada ini rasa penuh dengan sebak.





Dalam samar-samar cahaya unggun api yang tenggelam timbul, aku tak berani untuk berpaling melihat wajah-wajah yang mendengar. Kerana aku sendiri tak dapat menyorokkan dari wajah aku, yang aku sedang merasakan betapa kerdilnya manusia. 

Betapa kita semua masih bernafas semata-mata kerana rahmatNya. 

Betapa jika Alam mahu menghancurkan kita, dia mampu. 

Betapa bila kita ditelanjangkan dari kefanaan dunia, cukup pakai, cukup makan dan minum itu cukup. 


Habis sesi unggun api, masing-masing mula menyiapkan tempat tidur. Angin malam Kem Baha masih lagi sejuk tetapi ada semacam kehangatan yang terawangan, dibakar cerita derita. Aku lawat Shimi sekejap di khemah Atoq-Fauzan, sepanjang malam dia berkelubung, demamnya yang siang tadi datang semula. Aku beri Shimi satu petua yang aku pernah cuba. Selubung seluruh badan kecuali kaki yang bersarung stoking lembab, datang pagi demamnya patut hilang apabila stoking itu kering.






Malam ini berbeza. It was the last night before everything spin on its head, even when it took me awhile to realize it. Cerita-cerita yang aku dengar, manusia-manusia yang aku perhatikan, dan perasaan yang pada hemat aku mengubah perspektif aku tentang terlalu banyak perkara, terlalu banyak untuk mereka berlaku dalam waktu yang sama. Terlalu sulit untuk aku tulis tetapi menulis aku perlu, walaupun hanya sebaris dua ayat yang kriptik ini.


Aku pulang ke khemah besar. Unggun api masih menyala. Atoq dan Saiful masih duduk di tepinya, membentuk bayang-bayang panjang yang meliuk-liuk ke dalam khemah, menghipnosis aku ke alam tidur.


Bersambung di bahagian tiga>>


<< Baca bahagian satu



Comments

Popular

Train to Dabong I

Dream A Little Dream of Me

Bandarasa