Kehadapan satu-satunya adikku. Adikku, apalah kiranya sedikit ujian yang dilempar Tuhan padaku, jika dibanding rasa sakit dan tak berdaya yang dikirim Tuhan padamu. Aku mengaduh pada ujian yang terlalu kecil, sedang kamu tenang hadapi seksa dunia tanpa banyak tanya. Bila saja aku disakiti, mudah saja aku palit marahku pada manusia sekitarku; mencaci, mencarut, mencerca. Tapi kamu, ah kuat amat. Kamu pendam dan diam, bagimu biar seksamu untukmu sendiri. Emak kata, sepanjang kamu derita, tak pernah lepas satu kata 'Aduh' dari bibir pucatmu. Kaubiar seksamu untukmu sendiri. Adikku, kamu ingat kita berdua sendiri di meja makan di pagi raya? Setiap kali teringat aku itu, sebak dada bagai kau baru tiada rasanya. Renungmu kosong, mungkin bersyukur sempat menyambut raya. Mungkin berfikir bilakah masamu akan tiba. Saat itu juga, bergenang mataku, lalu aku lajukan kunyah lemang dan rendang, tak mahu kulihat berduka kamu di pagi raya. Ah, adikku. Masih dengan senyummu, walau diri separuh ...