Posts

Showing posts from 2016

Bulu Hidung

Image
Engkau bagai bulu hidung, Diam tersorok, meliuk-lentok, Tabah engkau di dalam gelap, Perlahan kau tumbuh, tetapi aduh, begitu pasti begitu ampuh. Kadang hangat engkau dihembus udara utara, Kemudian dingin disapa sepoi selatan, Ada ketika dilanda banjir masin, Ada kala dibenam lumpur, menggelupur Terpisat-pisat engkau cuba bangkit Dari kerak hijau melekit. Engkau bagai bulu hidung, Perlahan-lahan engkau melolos diri dari gua yang memenjara, Apalah kiranya dipotong direntap dicarik ditarik, Bahkan setimpal semuanya demi seketika merdeka. Tidak. Tidak akan sesekali engkau berhenti menjadi subur, Yakinlah dari cambahanmu engkau melunjur, Biar di tangan manusia engkau berkubur, Rentaplah! Biar tercabut dari umbi yang mengakar, Tetap bangkit walau bumi henti berputar, Dari pintu dua gua terperongo, Ayuh jengahlah engkau keluar!

Sang Pengejar

Aku mengejar engkau dikejar, Begitulah. Perlu ada cerita sebelum mahu bicara, Harus ada agenda sebelum berjumpa, Kena ditetapkan mana dan bila, Dikira-kira ongkosnya. Tanpa kita sedar, tali merah yang disimpul pada pasak hati kita, Kini boleh dinilai dengan wang ringgit. Dan tanpa aku sedar, aku menyumpah pada Tuhan yang mencampak kita, Terpisah masa dan ruang yang semakin menjurang tapi semakin menghimpit. Bukan salah sesiapa. Bahkan lumrah, qada dan qadar. Aku mengejar engkau dikejar. Begitulah.

Neraka

Dapatkah aku risik keindahan dalam lubang neraka? Dinding-dinding konkrit retak bermandikan panas. Dicela asap dan debu, tak cukup sifat, asal boleh guna. Herot-berot biarlah, lantak pi kalau tak roboh tak apa. Anak mata bagai dicucuh dengan bara rokok, pekan ini barua kepada petualang totok, sang pelacur kota yang menjaja merdeka demi kertas-kertas ronyok, yang dikaut dari kocek yang dilenjun kangkang berpeluh. Pekan bodoh ini sempit dan buruk, hingar dan sibuk hingga tiada hijau yang ingin tumbuh. Warna yang tinggal hanya kelabu simen dan hitam jelaga, yang merah hanya jalan tak berturap, haiwannya tinggal anjing kucing berkurap. Tulang ikan dan isi perut babi di campak ke dalam longkang, digogong anjing dikunyah kucing, serpihnya diunggis cencorot dan tikus. Unggas yang ada -- kuak-kuak si hitam gagak, desing mengacau lalat dan langau. Tong yang tadi paginya diunggah dengan sampah, bakal dipunggah aci rumah sebelah. Entah berbaloi mana sesen dua dari tin, botol, dan kotak y...

Bipolar

Adakah itu kemaafanmu? Adakah redup pandangmu, dan nipis senyum di bujur wajahmu itu satu pengampunan? Andai benar itu ajakanmu untuk kembali damai, kenapa hati ini dicakar gusar? Mengapa senda guraumu membuat aku tertunduk malu? Malu pada dosa yang lebih mudah bagi engkau dari aku untuk maafi. Ironi bila dikenang luluh kecai hati ini bila aku dihukum dengan tidak-endah. Aku bagai orang dungu, mahu menyauk kering laut kemarahan dengan bakul rotan. Bila aku  mahu merangkul engkau jangan pergi, yang aku kaup hanya ruh kenangan yang silam, yang engkau tinggalkan buat menghantui malam-malam aku bermenung. Kejam. Dan kini bila sudah reda marah ditangis masa, engkau bersedia salamku disambut, aku pula menjadi takut. Tiada kemaafan yang mudah, aku tahu itu. Bundar pandangmu, lengkuk senyummu, canda guraumu semua itu payah bagimu, aku tahu itu. Tapi rasanya belum setimpal lagi, tak layak kiranya untuk aku bersandar di pangkal pohon persahabatan kita. Pohon yang aku cuba bakar, ti...

Kawan

Image
Malam ini, aku akan hilang seorang kawan yang hidupnya dulu seputar buku, lagu, dan secawan teh. Pergi b ukanlah selamanya, beberapa hari dan malam cuma.  Pergi menakluk puncak nan tiga, kalau ada izin Tuhan. Entah hati ini mengapa terasa berat. Semacam dengan kembara yang kali ini, lengkap terjawab soala n-soalan yang tiada hati untuk aku ucap: Adakah engkau mengharap belas, perhatian, dan kasih dari yang lain? Dari mereka yang tidak satu tahun engkau kenal? Dari mereka yang tidak satu tahun pun mengenal engkau?  Rasanya seperti kita bermain XOX, kawan. Aku cuba mematikan langkah engkau dengan X. Tapi engkau tangkas melakar O. Mencuba aku perangkap engkau di penjuru dengan sebuah pangkah, tapi cepat engkau mengubah tingkah. Bila kotak-kotak hampir habis terisi di tengah dan di hujung, yang aku dapat lakukan hanyalah   play along. Ingatkah lagi engkau halnya Bukit Kutu dulu?   Kalau hati engkau tetaplah pada kembara yang datang ini, buatl...

Seorang

Image
Sekali-sekala rasa sunyi itu akan datang Bila habis kerja balik petang Yang menyambut hanya lompong ruang Jadi rutin turn on PC Tengok drama bersiri atau setengah jam komedi Paksa diri membahak ketawa Malu mengaku kosongnya jiwa Habis punchline dan lawak slapstik Merenung skrin hitam dicakar kredit Kembalilah diam mengira detik Membenci diri menyalah nasib. Apalah hinanya hidup merantau Kawan tiada kasih pun nan hado Bagai sesat di hutan kandas di pulau Hidup segan mati tak mahu Sedang yang lain punya teman Punya kawan punya keturunan Kerja impian kereta idaman Hujung minggu pergi berjalan Hujung tahun membelah awan Aku masihlah terceruk di sini Di aroma Bangladeshi dan kilang industri Gadai nyawa mencelah lori Tapi tak dilenyek lori sekalipun Tak menjamah toksik asap beracun Pekan ini sudah pun merubah aku Aku sudah tak mendengar muzik macam dulu Lirik dan rentak tak bermakna lagi pada lagu Sekadar peng...

Gelap

Image
Masihkah ada ruang untuk aku menghirup udara pengampunan dalam belahan lorong yang lohongnya semakin dikit. Masihkah ada cahaya yang boleh membelah gelita, kerongkong waktu ini seakan mual dengan asingnya kehadiran aku. Terhimpit aku antara dua dinding, yakni perasaan dan Tuhan. Rusuk-rusuk semakin ditekan, memeluk jantung dan paru, membelahak hembusan sakit dan haru, picingan matalah nisbahan derita, aduh! Ini dia yang aku dapat bila mengharap lebih dari rela Tuhan. Inilah dia pengakhiran bila jiwa perasaan dilayan lebih dari akal fikiran. Apalah yang kaukejarkan gejolak hati perasaan, habis rasa yang tinggal hanya gelojakan iman. Layaknya rasa itu dipendam saja. Kenapa mahu melonjak bila tak cukup langkah mengumpul lajak. Wahai diriku yang resah dan dungu, pujuk-pujuklah hatimu, dunia hanya wayangan semu. Bila habis minyak di dasar pelita, bayangan kan hilang di layar cerita. Habis, habis ditelan kegelapan. Lantiklah dalang sehebat mana, kalau tiada cahaya lau...

Separation (I)

Growing up, there were two things I learned about separation. One, separation hurts everytime. There is no getting used to it. Two, I hate it. I remember my first real taste of separation was when Mak decided to go back to Perak with my little sister when I was four or five, leaving me in Pahang with my big sister. I still remember chasing her down the hill at the back of our house; Mak and Iwa were on the old motorcycle, Abah sending them away for the bus. I ran with all my might, screaming Mak! Mak! with tears running down my cheek. Choked with my own tears and screams under the shadow of pokok sentul at the end of the hill, I learned that day separation hurts. My sister spent the whole day coaxing and lying. She promised me a day out at the town, for toys and stuff. She did, but Mak wasn’t home in the evening like she told me. I learned then that I hate separation. We got separated again when I was barely twelve, except this time I’ll be the one who left and I will be...

Ada Apa

Cepatlah hadir wahai ilham Dekatlah hampir bagai pendeta Yang membisikkan jiwa dan bahasa Sesudah subuh sebelum cahaya Muak sudah pada kuningnya suara-suara senja Jelik pada hitamnya angin hasut-hasutan malam Aku mahu hanya bait cinta menjadi rangga ragaku Jadi datanglah Datanglah ilham Terangkan nadi puisi aku Serentak hadir hari aku

Mula Satu Pengakhiran

Aku tahu dan engkau tahu Ada jarak yang mengikat kita Dari mendekat Tapi aku tak mengungkapkan Kau bisukan Mengapa terusan kita berdua berdiam Terseksa dan menyeksakan sesama kita Dipisah oleh sempadan yang ada tanpa sesiapa melukis Garis ini mengguris Pedih terhiris gentian hati yang terdalam Berdarah tapi dibiar terpendam *** Adakah ini langkah-langkah terakhir Sebelum tiba pada cabang perpisahan Mahukah kau menelusuri semula jalan-jalan Yang menjadi saksi kita bercanda berlarian? Mahukah engkau? *** Sumpah aku sudah mencuba Sumpah aku rindu Aku rindu kita

Kawan Hujung Minggu

Aku asyik menyelak helai-helai kalendar, Mencari-cari nilai persahabatan Pada kotak-kotak Ahad dan Sabtu Hujung-hujung minggu Tiada Hapus sudah rentak spontan Yang terbit pada malam-malam kesunyian Yang kini diganti borak-borak online Yang terkadang rasa semacam cakap-cakap sendirian Kalau ini makna jadi dewasa Aku mahu kecil semula Aku mual dengan alasan dangkal Kerjaya,wanita, dan keluarga Merenggut aku dari kebebasan Menyentap jauh dari akrab dan kawan Hidup kini... bosan.

Drama Rumah Sewa

Image
Kami berempat berkumpul dalam bilik Ahmad petang itu. Ahmad cekak pinggang, nampak tak keruan. Kami masuk ke biliknya bila Ahmad mengadu barangnya berselerak, laptopnya hilang. “Aku dah pesan berapa kali dah, orang last keluar rumah kunci pintu, kunci grill, kunci pagar.” “So, kau nak salahkan akulah ni?” “Ye lah!” “Sekarang ni barang siapa yang hilang? Yang kena curi barang aku ke kau?” “ So, just because barang kau hilang bukan barang orang lain aku tak boleh marah kau lah? Dah la pinggan mangkuk tak reti nak cuci, barang bersepah-sepah, nak kunci pintu pun malas. And hones tly aku tak tau macam mana ko perasan barang ko hilang sebab bilik ko memang macam sarang tikus.” Ahmad diam, matanya tak mahu memandang aku lagi. “ So, sekarang macam mana?” Rizal mencelah, cuba meredakan ketegangan. “Entah. Bukan barang aku yang hilang,” aku balas sinis sengaja mahu buat provokasi. Tak sempat aku berpaling tinggalkan bilik Ahmad, satu hentakan hinggap di pipi aku. Aku t...

Mess

Corat-coret atas kertas, Detap-detap jemari atas kekunci, Decit-decit kapur putih atas papan hitam, Tompok garis berus lukis atas kanvas. Curi-curi pandang kamu, Detak-detak jantung aku, Diam-diam jatuh cinta, Mata bertentang mata, Jeling-jeling kau menjeling, Senyumanmu menggoda. You sing it, dontcha? Totally messing with ya. Lulz

Negative

I imagine you and me alone in a darkroom, going through the negatives, picking which pictures worth to be developed only to learn that we like them all. But that would be a little silly because you own a digital camera. I guess I just need a reason to be with just you, even if it's only in my head. A reason to stand side by side,. A reason to put our faces close together, looking at the tiny, eerie reverse-coloured version of ourselves. A reason to ask permissions, hollering 'behind!' while trying to move in this space; cramped and badly lit by the blood-red light. A reason to accidentally graze our skins and elbows. A reason to be just us. But apparently my fantasy is mine and mine alone, not yours. By the time we finished processing the photos, you had enough of this room, I suppose. I reckon this tiny room is becoming too suffocating, these chemicals burning your nose. This endless strip of film may become too disorienting. Maybe it's too confusing seeing ourse...

Senja & Malam

Pada Senja yang memerangkap aku dalam jingga Pada Malam yang menyusupi sfera langit Kenapa terlalu kejam kamu pada Hati Kenapa kamu menyanyikan lagi lagu-lagu kecewa Melodi melankoli yang membangkit memori mehnah purba Dan baki kehangatan yang berlatarkan kegelapan Tidak lebih sekadar palsu sebuah pengharapan Samaran tali jerut yang ketat meranggut pada tengkuk Menafikan hidup pada kerongkong dan dada Wahai Senja, sang penjanji harapan semu, Wahai Malam, sang penghasut rasa takut, Sudahlah  bercanda dengan gurauan tanpa tawa Sudah cukup lara Hati ini diam tak berdaya Wahai Malam, jangan terlalu angkuh bersaing-saing dengan Senja menyelubung Matahari Kerana Senja itu sifatnya bermuka-muka Esok bila Matahari kembali terang Senja itu akan mengaku Siang!

Aku Aku, Engkau Engkau

Kau muncul tiba-tiba dari titik buta. Kenapa? Diamlah saja kamu dalam sudut kabur, tenggelam dalam samar-samar yang tak berupa. Saat kaumuncul, tertancap engkau dalam memori, mengecah kisah dalam kepala yang tak ingin kesah. Cuba kupaling tak mahu mengendah, tapi payah. Tetap terkedip-kedip juga minda berfikir, apakah indah lagi duniawi jika kau menghilang menyepi. Singgah tanpa sudi dalam perosok perasaan, menerobos jeriji dan tembok keengganan, tanpa sempat disanggah aku mencongak-congak perkara begitu-begini yang entah-entah. Kelibang-kelibut kekupu resah dalam jiwa yang kelam kabut. Jadi kalut hati berfikir sediri, sendirian. Melompat-lompat dari sisa-sisa masa lampau, tatih-tatih masa sekarang, dan ragu-ragu masa hadapan. Waktu aku mencuba menggapai garapan akal yang cuba menaakul logika, saat aku menyauk bayang-bayang engkau yang terbang rendah, tersedarlah aku pada jasadmu yang sebenar-benar melayang jauh menggalah. Siapalah aku padamu yang hinggap pun tak hendak, meliar ...

Malam Tanpa Bicara

Adakah itu rindumu Yang menggoncang aku bangun Dalam selubung malam Yang menjarakkan aku dan kau Seinci sekaki sedepa makin jauh Adakah itu resahmu Yang menggulir aku atas kamar kekecewaan Berbolak-balik dalam kelembapan keringat  Pada malam yang tak berpenghujung Dan tika merasa semua siksa dan lara Masih lagi kita tiada bicara Kesunyian siang dan kesepian malam Kita biar menghiris daya hidup Hingga luka berdarah jiwa lemah tak berdegup Tetap tiada antara kita yang mengalah Meski kau dan aku duanya tahu Segala rasa sakit kerinduan bakal hilang punah Jurang yang makin dalam dilekuk kebisuan dan tidak endah Bisa dikambus hingga tiada terlihat lurah Andai saja satu di antara kita mencuba merapat Maka berilah aku satu petanda Andai itu resah rindumu Andai itu jerit jiwamu Tiadalah ingin aku kauterus begitu Biar aku telan pahit keegoan Biar aku pecah kesunyian Biar aku mengejarmu Sebelum di kaki langit engkau hilang Kelubung kelam yang tidak kan siang